Rabu, 12 Februari 2014

GANGGUAN SPIRITUAL

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Teman saya mengajar sama sekolah, duduk di meja sebelah saya, mengalami sakit hampir dua tahun, sakit yang begitu terganggu. Beliau selalu bercuti dan tidak dapat menumpukan pengajaran sepenuhnya. Ada kalanya dia ketawa dan senyum bersendirian, seumpama ada kawan dilayan bercakap di sebelahnya. Dalam waktu lain, ia kelihatan termenung berpanjangan, yang berakhir dengan juraian air mata.

Saya memang tidak percaya tentang sakit yang dikaitkan dengan sihir, tetapi apabila teman ini tidak pulih dalam jangka masa yang begitu lama, padahal hospital menyatakan dia tidak sakit, tidak mengalami masalah tekanan, stres, depres dan sebagainya, pemikiran saya beralih kepada punca lain, yang sukar untuk dianalisis. Adakah sakit seperti ini pernah berlaku di zaman Rasulullah s.a.w.?
– Taruna
Jawapan: Penyakit terbahagi kepada dua, iaitu fizikal dan spiritual. Bagi sistem perubatan moden, masyarakat Barat yang bersifat biology orientation menganggap bahawa penyakit, sama ada berbentuk fizikal atau spiritual merupakan satu tahap nyata atau tersembunyi pada spiritual dan jiwa yang merosakkan kesejahteraan diri seseorang.
Sakit demam juga dikatakan sebagai berpunca daripada faktor-faktor ketegangan, ketidakseimbangan, kecederaan ataupun kerosakan yang dialami oleh pesakit.
Sakit boleh berlaku akibat agen parasit kuman dan sebagainya seperti yang dikemukakan oleh model fisiologik, manakala histeria pula dikatakan berpunca daripada pelbagai faktor, sebagai adaptasi tekanan emosi dalam bentuk fizikal dan didefinisikan sebagai satu reaksi terhadap tekanan yang dialami. Histeria ataupun gangguan mental juga dikatakan sebagai salah satu jalan yang dipilih bagi melegakan tekanan mental dan jiwa yang ditanggung.
Ia juga boleh terjadi akibat adanya masalah-masalah lama yang mengganggu kesejahteraan jiwa dan mental. Segala-galanya terus terpendam dalam jiwa, minda dan mental, lalu akhirnya mencetuskan tingkah laku histerikal.
Walaupun demikian, biarpun punca-punca histeria yang dijelaskan itu benar dan boleh berlaku, namun terdapat banyak mangsa histeria yang tidak mempunyai latar belakang yang berkaitan dengan faktor-faktor atau punca-punca yang dikemukakan. Hal demikian membuktikan tentang adanya satu faktor lain, selain faktor-faktor yang dijelaskan menyebabkan tercetusnya kelakuan histerikal.
Gangguan seperti ini juga sering berlaku pada waktu-waktu tertentu, ketika peperiksaan hampir tiba, ketika diadakan pendidikan jasmani, selepas latihan sukan dan sebagainya seperti yang berlaku di sekolah-sekolah.
Manakala mereka yang terlibat pula kebanyakannya terdiri daripada kaum wanita, sama ada pelajar ataupun pekerja kilang. Ini membuktikan bahawa histeria mudah berlaku di kalangan mereka yang lemah semangat ataupun tidak mempunyai kekuatan roh, yang mengalami depresi emosi dan mental. Kaum wanita adalah golongan yang dianggap mempunyai lemah semangat berbanding dengan kaum lelaki.
Histeria ataupun gangguan mental juga boleh tercetus hasil gabungan faktor-faktor fizikal dan ghaib, faktor fizikal dan mental atau gabungan ketiga-tiganya.
Dalam surah al-Baqarah: 275 terdapat firman Allah yang bermaksud: Orang yang makan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan lantaran penyakit gila.
Menurut al-Qurtubi, ayat ini merupakan salah satu dalil tentang kesilapan mereka yang mengingkari adanya rasukan jin-jin. Mereka beranggapan rasukan itu hanya tindak balas semula jadi, manakala syaitan tidak berupaya merasuk tubuh manusia.
Al-Hafiz Ibn Kathir pula mentafsirkan bahawa mereka yang melibatkan diri dengan sistem riba tidak berasa tenang. Keadaan mereka seperti orang yang kena rasuk dan selalu meracau. Satu keadaan yang keji lagi buruk. Menurut Al-Alusi pula, perkataan “al- masa” yang terdapat dalam surah al-Baqarah: 275 bermaksud “gila”.
Dinamakan demikian kerana syaitan itu apabila merasuk dan menguasai tubuh manusia itu akan bertindak atau mengganggu yang boleh menyebabkan mangsanya sasau (gila) atau mencetus perilaku histerikal.
Ibn Mas’ud ada meriwayatkan sebuah hadis dengan katanya yang bermaksud: Apabila Rasulullah bersembahyang, baginda membaca: Wahai Tuhanku aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan syaitan yang direjam, juga daripada rasukan, daripada godaan dan disihirkan.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Hakim dan disahkan sahih serta dipersetujui oleh Adz- Dzahabiy. Turut diriwayatkan oleh Abu Daud, At-Tarmiziy dan An-Nasaiy daripada hadis Abi Said Al-Khudriy.
Rasukan adalah salah satu jenis penyakit gila yang boleh menjejaskan kehidupan seseorang insan. Namun begitu apabila si mangsa pulih, keadaannya akan pulih seperti sediakala sama seperti orang yang bangkit daripada tidur atau sedar daripada mabuk.
Hadis ini boleh dijadikan dalil ataupun hujah wujudnya penyakit akibat rasukan jin terhadap manusia. Rasulullah membaca doa perlindungan (yang bermaksud di atas) untuk mengelakkan daripada terkena penyakit tersebut.
Abi Al-Yasar meriwayatkan bahawa Rasulullah pernah berdoa dengan doa yang bermaksud: Ya Allah, Aku berlindung kepada-Mu daripada lemah kerana tua, daripada ditimpa keburukan, kecelakaan, kedukaan, kebakaran serta lemas. Aku juga berlindung kepada-Mu daripada dirasuk syaitan di saat- saat menghadapi kematian. Lindungilah akan daku daripada ditikam curi (dibunuh), ketika berjihad di jalan-Mu. Dan aku berlindung dengan- Mu daripada mati dipatuk binatang bisa – maksud hadis riwayat Abu Daud dan Am-Nasaiy.
Safiyyah binti Huyyai berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya syaitan itu mampu bergerak dalam tubuh anak adam melalui saluran-saluran darah Muttafaq alayh.
Ubai Ibnu Ka’ab pernah berkata: Ketika aku sedang bersama-sama Rasulullah seorang Badui telah datang menemui baginda lalu berkata:
“Wahai Nabi Allah, aku mempunyai seorang saudara yang sedang dihidapi penyakit.” Rasulullah bertanya apa sakitnya. Lelaki tadi menyatakan:
“Dia terkena sakit sasau.” Lalu baginda menyuruhnya agar membawakan saudaranya itu menemui baginda.
Pesakit dibawa menghadap dan duduk di hadapan nabi. Baginda telah berdoa memohon kesembuhan bagi pesakit tadi, lalu dengan izin Allah, sembuh.
Peristiwa-peristiwa seperti ini banyak tercatat dalam hadis-hadis, membuktikan bahawa sakit seperti ini sememangnya wujud dan pernah berlaku di zaman Rasulullah juga pada zaman sahabat.
Pemahaman atau keyakinan seseorang terhadap punca penyakit itu bergantung kepada ilmu yang dimiliki dan pengalaman yang diharungi. Jelasnya, penyakit sama ada berpunca daripada gangguan fizikal atau spiritual, ia tetap mengganggu kesejahteraan seseorang.
Kemudahan teknologi moden berupaya mengatasi masalah yang berkaitan gangguan fizikal, iaitu dengan adanya hospital, klinik- klinik dan sebagainya yang dikaitkan dengan kepakaran bidang masing-masing. Sakit gangguan spiritul pula dikaitkan dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional, juga mereka yang arif tentang agama.
Sering berlaku sakit yang berkaitan fizikal, dibawa bertemu dengan mereka yang terlibat dengan rawatan tradisional dikatakan berpunca daripada gangguan, sihir, saka, penunggu dan sebagainya, yang menyebabkan kecelaruan di mana dalam keadaan tertentu usaha-usaha penyembuhan itu melalui laluan yang begitu panjang menyebabkan penyakit menjadi lebih serius dan sukar untuk diselamatkan.
- PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin, Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz2t68vb4v4
© Utusan Melayu (M) Bhd