Rabu, 11 Februari 2015

7 Langkah Mencapai Cita-Cita / Matlamat Anda denga CEPAT

7 Langkah Mencapai Cita-Cita / Matlamat Anda dengan Cepat
Oleh Taidin Suhaimin

Artikel motivasi ini menjelaskan langkah-langkah, cara-cara, kaedah-kaedah, strategi-strategi, teknik-teknik, atau panduan-panduan bagaimana menetapkan dan mencapai matlamat / cita-cita hidup anda dengan cepat.


1. Kenal Pasti Semua Keperluan & Keinginan Anda Sejelas-jelasnya
Duduk dan tulis semua keperluan dan keinginan anda. Tulis seberapa banyak keperluan-keperluan serta keinginan-keinginan atau cita-cita anda. Tuliskan  apa saja keperluan dan keinginan yang terlintas di fikiran anda. Apabila jumlahnya menjangkau 50 hingga 100, akan timbul suatu bentuk perasaan, pemikiran atau semangat pada diri anda. Ya, anda akan mengetahui perasaan sebenar anda itu apabila anda melepasi angka 50. Teruskan. Perasaan inilah yang akan membarai semangat anda terus melangkah ke hadapan untuk mencapai matlamat-matlamat anda secepat yang mungkin.  Insya-Allah.

2. Tetapkan dan Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda
TULIS matlamat-matlamat atau cita-cita anda di atas sehelai kertas. Ini amat penting kerana jika anda tidak tulis, cita-cita anda hanya akan menjadi angan-angan.  Dengan berbuat demikian, cita-cita anda itu akan menjadi perkara yang amat penting dan berharga bagi anda. Dengan menjadikannya suatu dokumen dan diberi perhatian, ia akan mula meresap  ke dalam minda separa sedar anda. Hasilnya, matlamat-matlamat anda itu akan menjadi sebahagian yang signifikan dalam hidup anda dan anda tidak akan berpuas hati selagi matlamat tersebut belum anda capai.

3. Tetapkan Tempoh dan Tarikh Matlamat Anda Mesti Dicapai
Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat-matlamat anda itu. TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai. Tetapkan tempoh anda membuat persiapan rapi untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Tetapkan juga tempoh yang anda perlukan untuk melaksanakan setiap aktiviti dalam perancangan atau pelan tindakan anda.

4. Lakukan Perancangan
RANCANGKAN tindakan-tindakan atau aktiviti-aktiviti yang mesti anda laksanakan untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Jadualkan aktiviti-aktiviti atau langkah-langkah tindakan anda mengikut susunan dan keutamaan agar setiap langkah anda menyokong antara satu sama lain. Nilai semula dan buat pembaikan pada senarai jadual aktiviti anda dari semasa ke semasa dengan tujuan untuk memastikan matlamat anda tercapai mengikut seperti yang dirancang.

5. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda 
Letakkan suatu Studio Filem di minda anda! Bayangkan satu GAMBARAN MENTAL yang anda telah berjaya mencapainya. Buat imej minda yang jelas pada mata minda anda tentang kejayaan anda. Mainkan gambaran itu berulang-ulang – berkali-kali di fikiran anda.  Lihat kejayaan dan keadaan anda yang hebat dalam "kejayaan" itu.

Gambaran "kejayaan" dalam minda anda itu akan membuatkan motivasi anda sentiasa di tahap teratas.  Dengan semangat berkobar-kobar itu anda akan lebih fokus, lebih komited serta lebih bertekad untuk mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.

6. Tangani Halangan
Dalam melaksanakan perancangan anda, ada kalanya anda tidak terlepas daripada menghadapi beberapa halangan. Halangan-halangan itu mungkin berpunca dari anda sendiri atau dari orang lain atau disebabkan oleh masalah logistik.

Langkah-langkah proaktif yang perlu anda lakukan untuk menangani halangan-halangan tersebut ialah:
  1. Membuat jangkaan halangan-halangan atau kekangan-kekangan yang mungkin anda akan hadapi dan mesti anda atasi.
  2. Menumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya  maklumat-maklumat, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu yang dapat membantu anda mengatasi  halangan-halangan tersebut.

7. Sokongi Usaha anda dengan Keazaman Kental
Baki 90% adalah ditentukan oleh tahap keazaman dan usaha anda. Sokongi RANCANGAN anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence). Tekadkan semangat, Fokuskan segala perhatian dan tenaga anda untuk mencapai setiap matlamat anda mengikut tempoh yang anda telah tetapkan. Hadapi setiap cabaran dengan tenang dan berhemah. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran.

Dengan diiringi doa, keazaman, usaha gigih serta disiplin yang tinggi, insya-Allah, anda akan mencapai apa juga matlamat atau cita-cita yang anda impikan dengan cemerlang dan jayanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan